"KALAULAH NASIB AKU SEPERTI DIA"
Kereta mewah itu meluncur dengan lajunya. Perjalanan mereka sudah hampir tiba ke destinasi.
“Perlahan sedikit ye Pak Mat, kita ni dah masuk kawasan kampung. Jaga sikit,di sini jalan banyak lubang,” pesan Datuk Jamal pada pemandunya.
Seketika pandangannya dilontarkan ke tingkap. Kelihatan jelas padi menghijau di kiri kanan jalan. Di sebelahnya, Datin Nora pula sibuk sedang membalas SMS, entah untuk siapa dia pun tidak tahu. Nama saja satu kereta, tetapi mereka tidak bertegur sapa dari tadi. Malas dia hendak melayan karenah Datin Nora yang suka membantah cakapnya.
Sesekali kereta mereka sedikit bergoyang kerana jalan kampung yang tidak rata. Datuk Jamal terpandang sesuatu yang menarik perhatiannya. Seorang lelaki pertengahan usia sedang mengayuh basikal tua bersama wanita yang sudah pasti isterinya. Walaupun hanya berbasikal tua, lelaki itu kelihatan gagah. Sesekali sang isteri mengangkat tangannya mengelap peluh di leher suami. Saat itu, keduanya berpandangan sambil tersenyum. Nampak ikhlas kasih sayang mereka. Agak lama basikal itu berpapasan dengan keretanya.
“Alangkah bahagianya lelaki ini. Basikal sudah buruk. Tapi isteri dia masih sayangkan dia. Sanggup kesatkan peluh suami. Aku ni berharta tapi isteri tak pernah tunjukkan kasih sayang. Hari-hari bergaduh,” hati Datuk Jamal berdetik. Meski hidupnya mewah tapi dia sepi dari kasih sayang dan perhatian isteri.
Selama ini, dia asyik bekerja mengumpul harta sampai menimbun. Kesibukan itu juga akhirnya menyusutkan cinta antara mereka berdua. Apalah agaknya yang tidak kena dengan hidupnya. Kekayaan sudah melebihi kemampuan, tetapi kebahagiaan pula seakan enggan singgah di hatinya.
Sementara itu, lelaki yang berbasikal pula sesekali menjeling kereta mewah di sebelahnya. Nampak jelas seorang lelaki berpakaian segak dan isterinya yang bergaya di sebelah.
“Ini mesti orang kaya. Siap ada pemandu lagi. Jauh beza dengan hidup aku. Dengan basikal tua, ini saja kenderaan yang ada. Kasihan isteriku. Berpanas terik. Aku tak berpeluang berikan dia kemewahan macam apa yang lelaki ini berikan pada isterinya. Bahagianya mereka,” hati lelaki itu berbisik. Sesekali kayuhannya diperlahankan agar tidak terlanggar becak di jalan.
Agak lama berpapasan, kereta mewah dan basikal itu berpisah di hujung jalan menuju jalan besar. Sempat lelaki kaya dan lelaki miskin itu berpandangan sesama mereka. Jauh di sudut hati, masing-masing berkata “Kalaulah nasib aku seperti dia…”.
Begitulah harga sebuah kehidupan. Sesempurna mana pun kita,manusia tetap manusia. Tidak semuanya akan Tuhan berikan percuma. Bukan wang menjadi sebagai pengukur bahagia. Pun tidak semestinya miskin kita derita.
Sebagaimana Tuhan menurunkan satu persembilan dari kasih sayang di langit buat makhluk di dunia, itulah bekalan perkasihan buat kita. Dibahagikan kepada ayah ibu, diabadikan buat suami dan isteri, dijalinkan antara ibu dan anak, diagih buat saudara mara, disimpan sedikit buat teman-teman dan seterusnya saudara seagama.
Apa pun bentuk kehidupan yang tersurat, terimalah dengan redha. Kaya? Miskin? Sederhana? Di mana pun kita, percayalah, kadangkala apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya sesuai buat kita.
-sy amik dr portal bsm MARA....untuk renungan bersama...
Sumber: Dunyahalal.com
No comments:
Post a Comment